WAYTHA Moorthy menunjukkan jumlah kes yang dirawat. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEBANYAK 14 kematian dilaporkan membabitkan penduduk Orang Asli suku Batek, di Kuala Koh, Gua Musang sejak 2 Mei hingga 7 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, dua kematian dilaporkan akibat radang paru-paru.

Katanya, 12 kematian yang dimaklumkan berlaku di Taman Negara dekat sempadan Kelantan-Pahang iaitu ketika mereka dalam perjalanan dari Pahang ke Kelantan.

“14 kematian yang dicatatkan itu berdasarkan laporan daripada ketua masyarakat Orang Asli, namun bukti kubur dan kematian sukar diperoleh kerana mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari sempadan Taman Negara Pahang ke Kelantan.

“Sehingga kini 14 kematian dan 83 Orang Asli sedang menerima rawatan iaitu 37 sebagai pesakit luar, 32 orang dirawat di Hospital Gua Musang, 10 di Kuala Krai dan seorang kanak-kanak di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) serta tiga lagi di rumah inap kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang.

“Dua mangsa iaitu seorang wanita berusia 36 dan kanak-kanak tiga tahun dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, manakala selebihnya menunjukkan pemulihan,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga kini punca penyakit ini belum dapat diketahui.

“Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan dijangka dapat mengetahui keputusan ujian beberapa hari lagi.

“Berdasarkan bedah siasat yang dilakukan ke atas dua mangsa yang meninggal dunia pada 29 Mei lalu dan Jumaat lalu mendapati mereka dijangkiti radang paru-paru atau pneumonia,” katanya.

Beliau berkata, pakar perubatan juga menasihati penduduk supaya mengurangkan perhubungan dengan mangsa kerana penyakit ini jenis berjangkit.

Menurutnya, pasukan khas ditubuhkan untuk menangani kes berkenaan dengan menubuhkan satu bilik gerakan di Gua Musang.

Dilaporkan terdapat 186 orang masyarakat Orang Asli suku Batek yang berada di Kuala Koh, Gua Musang.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 5:02 PM