SKYLIFT digunakan untuk membawa mangsa turun ke kaki gunung. FOTO Ihsan Bomba
Safuri Kamarudin


LELAKI yang tersesat selama lima jam di Gunung Baling, Baling, ditemui selamat hari ini.

Mangsa, Mohamad Mazrin Md Zakir, 41, dari Taman Saga, Alor Setar dipercayai mendaki gunung itu kira-kira 8 pagi sebelum tersesat ketika menuruni gunung berkenaan sekitar waktu petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.15 petang dan tiba ke lokasi kira-kira lima minit kemudian.

“Mangsa dipercayai tidak begitu arif dengan selok-belok pendakian gunung itu, selain tidak menyedari arahan penutupan gunung berkenaan untuk sebarang aktiviti pendakian selepas kejadian kebakaran di gunung itu awal tahun ini,” katanya.

Katanya, mangsa yang keletihan dipercayai sudah tersasar haluan sehingga sesat pada ketinggian 100 meter di kaki gunung berkenaan.

“Orang awam yang melalui sebatang jalan utama berhampiran gunung itu kemudian terdengar laungan mangsa meminta pertolongan sebelum ternampak kelibatnya.

“Mangsa tersesat jauh dengan laluan pendakian itu kerana dia tidak mengikuti laluan yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Jamil berkata, seramai lapan anggota penyelamat termasuk malim gunung turut dikerah untuk membantu.

“Pihak kami terpaksa mengguna jentera skylift dari syarikat swasta untuk membawa turun mangsa yang keletihan.

“Mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat pada 7.30 malam.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya dan keadaannya dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 9:18 PM