KEPALA bayi tersangkut pada jeriji pintu rumah di sebuah pangsapuri di Cheras, hari ini. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


BAYI lelaki terpaksa menahan sakit hampir satu jam selepas kepalanya tersangkut pada jeriji pintu di sebuah pangsapuri di Cheras, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.01 tengah hari tadi.

“Seramai lima anggota bersama sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati kepala bayi tersangkut pada jeriji pintu terbabit.

“Anggota bertindak memotong besi jeriji terbabit bagi membolehkan kepala bayi berusia setahun lapan bulan itu dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyelamatkan bayi berkenaan.

“Berdasarkan keterangan ibu mangsa, anaknya bermain di jeriji pintu sebelum dia ditemui dalam keadaan kepalanya tersangkut.

“Wanita itu cuba mengeluarkan kepala anaknya, namun gagal sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya yang memaklumkan kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 4:39 PM