ZAKIR Naik. FOTO SADDAM YUSOFF
Hairulazim Mahmud


“BERDASARKAN kemampuan dan pengalaman Tun Dr Mahathir Mohamad, saya percaya dengan keputusan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik tidak akan menyebabkan ketegangan hubungan dua hala antara Malaysia dan India,” kata Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan Perdana Menteri berbuat demikian berikutan bimbang berlaku ketidakadilan kepada pendakwah antarabangsa terbabit.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang mempertikai keputusan Perdana Menteri.

“Tindakan Ramkarpal mempertikai keputusan Dr Mahathir untuk tidak memenuhi tuntutan ekstradisi kerajaan India adalah sangat tidak wajar.

“Zakir adalah tetamu dan selama berada di Malaysia, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan malah kehadirannya turut disenangi majoriti rakyat di negara ini.

“Saya percaya disebabkan status dan kredibiliti Zakir sebagai pendakwah antarabangsa, maka Perdana Menteri membuat keputusan untuk tidak mengekstradisi beliau ke India,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir membandingkan status Zakir dengan permohonan Malaysia kepada Australia berkaitan ekstradisi Sirul Azhar Umar yang disabit atas kesalahan bunuh.

Sirul yang kini berada di pusat tahanan Imigresen di Melbourne, melarikan diri selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya pada 2013.

Mahkamah Persekutuan kemudian membatalkan keputusan itu dan mengekalkan sabitan terhadap Sirul dan Azilah Hadri.

Direktorat Penguatkuasaan India (ED) akan mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan individu lain dalam perbicaraan yang sedang didengar mahkamah khas di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Menurut laporan itu, Mahkamah Mumbai akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan perlu dikeluarkan terhadap Zakir ketika pendengaran seterusnya dijadual pada 19 Jun ini.

ED kemudian akan memohon notis merah Interpol terhadap pendakwah itu serta ekstradisi oleh Malaysia selepas mendapat waran berkenaan.

Zakir mendakwa tuduhan terhadapnya sebagai palsu dan kini berstatus penduduk tetap di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 5:34 PM