DANIAL Tan Abdullah. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Murni Wan Omar


‘ABANG Botak’ atau Danial Tan Abdullah sudah dibebaskan dengan jaminan Jumaat lalu sementara menunggu permohonan semakan terhadap hukuman penjara 12 bulan yang dikenakan terhadapnya didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Danial dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada 31 Mei lalu oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas mengaku bersalah memecahkan cermin hadapan sebuah kereta.

Majistret Nur Shahira Abdul Salim membenarkan permohonan Danial, 31, yang diwakili peguam Nur Rafiuddin Mas Wari untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dikenakan terhadapnya.

Harian Metro difahamkan bahawa mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan Danial perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali setiap bulan.

Tertuduh didakwa sudah memfailkan permohonan semakan terhadap hukuman penjara dikenakan terhadapnya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan mengetuk cermin hadapan kereta lelaki berusia 58 tahun menggunakan topi keledar.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, jam 5.30 petang pada 28 Mei lalu.

Pendakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada 28 Mei lalu, tular di media sosial rakaman video cermin depan seorang pemandu dipecahkan penunggang motosikal yang diberi gelaran 'Abang Botak' akibat membunyikan hon kereta.

Kejadian itu didakwa berlaku ketika mangsa sedang memandu, namun laluannya dihalang penunggang lelaki terbabit.

Berang tindakan pemandu itu, lelaki berkenaan bertindak memberhentikan motosikalnya dan memecahkan cermin kereta menggunakan topi keledar.

Berita berkaitan

Lelaki hentak cermin kereta dipenjara [METROTV]

'Abang botak' beraya dalam jel

‘Saya bukan cari publisiti’

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 7:40 PM