Laporan portal berita Harian Metro kelmarin.
Nurul Amanina Suhaini


KEADAAN mayat dan pakaian mangsa kes pembunuhan yang ditemui dalam kotak dan dibuang di tepi jalan di Taman Setia Indah, Johor Bahru kelmarin sudah reput sekali gus menyukarkan waris membuat pengecaman.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, waris mangsa tampil membuat pengecaman namun belum boleh mengesahkannya berikutan keadaan mayat sudah mereput.

“Mayat dan pakaian si mati (mangsa) sudah mereput, sukar bagi mereka mengecam mayat berkenaan.

“Berikutan itu, kami menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mendapatkan keputusan.

“Buat masa ini, polis menggunakan keterangan suspek yang mengesahkan si mati (mangsa) adalah OH (orang hilang) sehingga keputusan DNA diperolehi secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pada masa sama dua suspek kes pembunuhan itu ditahan reman tujuh hari dari 11 hingga 17 Jun ini.

Katanya, ia bagi membantu siasatan susulan pengakuan suspek mendedahkan pembabitan mereka dalam kes pembunuhan wanita tempatan berusia 33 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan cemburu punca lelaki memukul kekasihnya hingga mati sebelum mayat wanita itu dibuang di tepi jalan di kawasan perindustrian Taman Setia Indah.

Mayat itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru bagi menjalani proses bedah siasat manakala ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Berita berkaitan

Bunuh, sumbat mayat kekasih dalam kotak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 1:41 PM