Pekerja stesen minyak yang cedera pada tangan akibat ditetak pemandu teksi. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan pemandu teksi yang menetak tangan pekerja stesen minyak warga asing di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

Sumber berkata, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran mulut akibat perselisihan faham antara pemandu teksi dengan pekerja stesen minyak terbabit sebelum pemandu teksi beredar dari lokasi.

“Bagaimanapun, pemandu teksi itu dikatakan datang semula ke stesen minyak terbabit dengan membawa parang sebelum menetak tangan pekerja terbabit.

“Pemandu teksi itu cuba melarikan diri dengan menaiki teksinya, namun dikejar penyelia stesen minyak yang berjaya masuk ke dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, berlaku pergelutan antara pemandu dengan penyelia itu sehingga teksi terbabas lalu merempuh penunggang motosikal.

“Suspek berjaya ditahan orang awam manakala mangsa dan penunggang motosikal yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintendan Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan sebuah teksi dan motosikal di lokasi terbabit.

“Sebaik tiba, kami dapati orang awam sudah menahan pemandu teksi berusia 35 tahun itu.

“Kami turut merampas parang yang digunakan suspek untuk menetak mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 2:56 PM