Siti Rohana Idris


SEORANG wanita bertindak nekad melarikan dua gelang emas bernilai lebih RM6,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Temenggong di sini petang semalam ketika urusan jual beli berlangsung.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, suspek berusia 20 an berbuat demikian ketika pekerja kedai emas berusia lingkungan 50 an sedang menulis bil pembayaran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Noor Halim Nordin berkata, sebelum itu mangsa didatangi dua wanita berusia dalam lingkungan 20-an.

“Selepas memilih, dua wanita itu bersetuju membeli tiga gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000.

“Salah seorang daripada wanita itu meminta untuk ke bank kerana wang sedia ada tidak mencukupi.

“Kira-kira setengah jam selepas itu, seorang daripada suspek kembali ke kedai emas itu untuk membuat pembayaran bagi tiga gelang tangan emas itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa mengeluarkan gelang tangan emas itu dan meletakkan di atas meja pameran sebelum dia membuat resit pembayaran.

“Bagaimanapun, suspek mengambil kesempatan mengambil dua gelang tangan emas itu dan terus melarikan diri menyebabkan mangsa tidak sempat berbuat apa-apa.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Noor Halim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti seorang daripada suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam premis terbabit.

“Operasi mengesan seorang lagi rakan suspek sedang dibuat dan mereka dijangka ditahan dalam masa terdekat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 308 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui di kedai emasnya hari ini memberitahu kejadian itu adalah kali pertama dialami sejak premis itu beroperasi tiga tahun lalu.

Video berdurasi 20 saat dan gambar mengenai kejadian itu tular sejak semalam dan dikongsikan ramai pelayar media sosial bagi membantu mengesan dua suspek wanita terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 3:53 PM
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) mengesan dua suspek wanita yang melarikan dua utas gelang emas bernilai lebih RM6,000 ketika urusan jual beli di sebuah kedai emas (gambar kecil) di Jalan Temenggong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar