Polis memeriksa motosikal dalam operasi di Jalan Baru Teroi sehingga ke Jalan Baru Titi Baru semalam. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


TINDAKAN berani sekumpulan remaja bawah umur menunggang motosikal dan merempit di Jalan Baru Teroi sehingga ke Jalan Baru Titi Baru, Yan mengundang padah apabila ditahan polis dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan semalam.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan bermula 4 petang hingga 8 malam susulan aduan orang awam mengenai kegiatan mat rempit yang berleluasa ketika Syawal ini.

Menurutnya, hasil operasi itu 50 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan tujuh motosikal membabitkan lima Yamaha 125Z, masing-masing sebuah Yamaha RXZ dan Honda EX5 disita kerana kenderaan itu diubahsuai tanpa kebenaran serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh yang disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mereka yang disaman ini kebanyakan terdiri golongan remaja berusia 12 hingga 22 tahun dengan kesalahan paling banyak dilakukan adalah menunggang motosikal bawah umur dan tiada lesen memandu.

“Ibu bapa dan waris yang terbabit turut dipanggil dan dikeluarkan saman kerana membenarkan anak-anak di bawah jagaan menunggang tanpa lesen memandu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 4:31 PM