TERTUDUH, Abdul Hafiz Man, 32, dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu sebaik dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku salah mencederakan isterinya menggunakan papan luncur, Ahad lalu. FOTO Zaid Salim
Helmy Abd Rahman


SEORANG mekanik yang sanggup mencederakan isterinya hanya disebabkan tidak diberi duit raya anak berjumlah RM10 pada minggu lalu, menerima pembalasan setimpal apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Abdul Hafiz Man, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Abdul Hafiz didakwa mencederakan isterinya, Nazirah Mat Noor, 31, di rumah mereka di Kampung Titian Kulat, Gong Pak Damat, Kuala Nerus pada jam 12 tengah hari, 6 Jun lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa memukul isterinya dengan papan selaju sehingga menyebabkan Nazirah mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Tertuduh kemudiannya turut mencampakkan sebuah kereta mainan yang mengenai dahi isterinya itu.

Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ahad lalu, Harian Metro melaporkan mengenai perbuatan seorang lelaki yang sanggup menendang kepala anaknya hanya kerana gagal mendapatkan duit raya daripada kanak-kanak itu sebanyak RM10 dalam kejadian di Kampung Pak Damat, Gong Badak, di sini, Khamis lalu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan turut mengakibatkan kecederaan pada ibu kanak-kanak terbabit apabila wanita itu dipukul dengan papan selaju kerana cuba menghalang suaminya yang bagaikan dirasuk apabila menendang kepala anak kandungnya tanpa belas kasihan.

Sebelum kejadian, bapa berusia 32 tahun itu mengejutkan anaknya yang sedang tidur untuk meminjam wang sebanyak RM10 daripada kanak-kanak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 5:33 PM