PENGARAH JPJ Perlis, Shahrul Azhar Md Dali (tengah) bersama kenderaan yang bakal dilelong JPJ Perlis pada 25 Jun nanti. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis akan mengadakan lelongan awam 28 kenderaan termasuk empat kereta mewah pada 25 Jun ini.

Pengarah JPJ Perlis, Shahrul Azhar Md Dali berkata, daripada jumlah itu, empat motosikal kapcai serta kereta klon yang didaftar baru turut dilelong pada hari berkenaan.

“Antara kereta yang bakal menjadi tumpuan adalah sebuah Mini Cooper S, dua buah BMW 730i, dan Subaru Impreza selain puluhan kereta jenis Honda serta Toyota.

“Pembida yang berminat dengan lelongan berkenaan diminta hadir ke Unit Kewangan JPJ Perlis bagi membeli Dokumen Buku Lelong berharga RM70.

“Pemeriksaan awam akan dibuka kepada mereka pada 18 hingga 20 Jun ini bagi meneliti jenis kereta yang ingin dibida,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JPJ Perlis, hari ini.

Ketika mengulas mengenai Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula sejak 29 Mei lalu sehingga hari ini, Shahrul Azhar berkata, jumlah kemalangan di Perlis mencatatkan penurunan sebanyak 10.5 peratus berbanding 2018.

“Pada 2018 sebanyak 105 kes dicatatkan untuk tempoh sama, namun pada tahun ini hanya 90 kes kemalangan sahaja dicatatkan dan lima daripadanya membabitkan kematian.

“Pihak kami juga melakukan pemeriksaan ke atas 311 buah bas ekspres serta hanya seorang pemandu sahaja positif dadah jenis kanabis dan kes diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 3:09 PM