Iskandar Shah Mohamed


“SAYA tidak mahu mencampuri urusan polis yang mempunyai tugas untuk menjalankan siasatan,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau mengulas mengenai penahanan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam bagi membantu siasatan berkaitan klip video seks yang didakwa membabitkan seorang menteri.

Mohamed Azmin berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Apa jua tindakan diambil polis itu, saya yakin ia berdasarkan tahap profesionalisme pasukan keselamatan berkenaan.

“Ia bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya di Shah Alam hari ini.

Malam tadi, polis menahan Lokman dan seorang lagi individu selepas enggan bekerjasama dengan pegawai penyiasat yang datang ke rumahnya di Taman Teknologi, Kajang.

Kedua-duanya ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mengesahkan Setiausaha Politiknya, Muhammad Hilman Idham dipanggil polis untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan laporan polis dibuat berkaitan klip video seks berkenaan.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut berterima kasih dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan ketegasan menghentikan politik kotor dan jijik di negara ini.

“Sebagai kerajaan baharu selepas 71 tahun merdeka, kita bertanggungjawab memberi khidmat terbaik kepada rakyat dengan politik nilai.


Mohamed Azmin bercakap kepada media selepas hadir majlis Rumah Terbuka Aidilifitri Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor. FOTO Sairien Nafis

“Teguran Perdana Menteri itu perlu dipandang serius semua pihak,” katanya.

Media melaporkan negara ketika ini digemparkan dengan penyebaran video lucah yang didakwa mirip Mohamed Azmin bersama seorang lelaki di sebuah bilik hotel.

Namun seorang lelaki mengaku dia adalah Haziq Aziz di dalam video berkenaan menerusi hantaran di Facebook awal pagi semalam.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam video berkenaan sambil menganggap ia tuduhan jahat dan kejam.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat Biro Politik memaklumkan kedudukan Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden parti itu kekal dan menyerahkan siasatan lanjut kepada polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dr Mahathir juga merasakan perkara itu tidak benar dan dilakukan oleh individu yang mempunyai agenda politik.

Berita berkaitan:

  • Tidak mahu campur urusan polis - Mohamed Azmin
  • Muhammad Hilman pula buat laporan polis
  • Dalang penyebaran video lucah dicari
  • SKMM sedia bantu siasatan - Gobind
  • Hindari sebarang bentuk fitnah- Mufti WP
  • Hilman nafi tuduhan Haziq
  • Haziq dakwa diugut setiausaha politik Mohamed Azmin
  • Haziq Abdullah digantung tugas serta-merta
  • Polis buka kertas siasatan
  • Saya kenal dari jauh - Mohamed Azmin
  • Setiausaha Politik Mohamed Azmin buat laporan polis
  • 'Saya tak rasa ia benar'
  • Azmin nafi terbabit video lucah
  • 'Saya tak tau apa pun...'
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:12 PM