FOTO Hiasan
Mohd Hilmie Hussin


BERLAKU peningkatan membabitkan kes demam denggi di negeri ini apabila 904 kes dicatatkan sejak 1 Januari hingga 8 Jun lalu berbanding hanya 225 kes sepanjang tempoh sama, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Low Chee Leong berkata, peningkatan 301.78 peratus amat membimbangkan malah turut meragut lima nyawa berbanding tiada kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, Melaka Tengah mencatatkan kes paling tinggi dengan 665 kes diikuti Alor Gajah dan Jasin masing-masing 125 dan 114 kes.

“Kita akui masalah berpunca daripada kebersihan yang semakin merosot di Melaka dan kerajaan negeri minta rakyat memberi kerjasama menjaga kebersihan serta membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi mengurangkan risiko berkenaan.

“Walaupun pelbagai usaha sudah dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) termasuk program gotong-royong dan pemeriksaan berkala di kawasan yang disasarkan tetapi tanpa kerjasama penduduk usaha pencegahan tidak dapat dilaksana sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Melaka 2019 di Muara Sungai Melaka, Banda Hilir, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Tey Kok Kiew yang mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari.

Mengulas lanjut, Chee Leong berkata, terdapat 66 wabak dilaporkan di negeri ini membabitkan 62 wabak sudah tamat dan hanya empat wabak dilaporkan masih aktif.

“Empat lokasi menjadi tumpuan ialah Taman Merlimau Baru, Jalan Masjid, Taman Bemban Jaya dan Rumah Awam Pondok Kempas di Jasin,” ujarnya.

Mengikut rekod, 193 kes demam denggi dicatatkan pada Januari lalu diikuti 145 kes pada Februari, 192 kes (Mac), 159 kes (April), 160 kes (Mei) dan setakat 8 Jun, 55 kes direkodkan bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 2:08 PM