Azzman Abdul Jamal
am@hmetro.com.my


KERAJAAN memberi jaminan akan memberi pampasan kepada pemilik tanah di Jelebu yang tanahnya akan diambil untuk pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu akan ditentukan sebaik kerajaan memuktamadkan pelan jajaran projek mega itu tahun ini sebelum dijangka memulakan proses pengambilan tanah tahun depan.

“Ini supaya tidak timbul isu atau spekulasi mengenai pengambilan tanah selain pembangunan projek ini dapat dijalankan dengan lancar.

“Kita belum putuskan lagi jumlah keluasan tanah diperlukan atau di mana lokasi stesen ini akan dibina. Tetapi pastinya akan ada satu stesen ECRL di Jelebu.

“Sebaik pelan jajaran ECRL siap tahun ini, kita akan adakan sesi penerangan awam untuk mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan termasuk penduduk setempat,” katanya ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan (DUN) Chennah, Jelebu, hari ini.

Pada masa sama, Loke yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah mengakui optimis pembangunan projek mega berjumlah RM44 bilion mampu menarik minat pelabur untuk membangunkan kawasan perindustrian di Jelebu, sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Golongan belia tidak perlu pergi jauh untuk cari pekerjaan. Pembangunan kawasan perindustrian di sini pastinya akan menyediakan peluang pekerjaan.

“Stesen ECRL di Jelebu bukan saja menumpukan kepada tren penumpang tetapi muatan kargo. Menggunakan kemudahan ini, pastinya Jelebu dapat dibangunkan menjadi sebuah hab industri,” katanya

Mengulas lanjut katanya, keadaan itu akan mengubah landskap pembangunan Jelebu dalam tempoh 10 tahun dan mampu mendorong pembangunan ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 3:16 PM