Gambar hiasan
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


SEORANG artis tempatan berusia 30-an ditahan selepas membelasah seorang lelaki berhampiran premis Plaza 333, Penampang, kelmarin.

Suspek ditahan polis selepas menerima laporan daripada mangsa berusia 20-an yang mendakwa dibelasah artis terbabit bersama beberapa rakannya.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 5.18 pagi Jumaat lalu ketika mangsa dan suspek sedang minum di sebuah kedai di Plaza 333.

Mangsa dikatakan menegur suspek, namun suspek tidak puas hati dengan cara mangsa sehingga menimbulkan pertelingkahan sebelum tercetus pergaduhan.

Beberapa rakan suspek turut membelasah mangsa hingga menyebabkan mangsa parah di muka, kaki dan tangan.

Awal bulan ini, artis terbabit pernah tular di laman sosial selepas satu rakaman video dia menampar dan menendang seorang remaja lelaki di sebuah restoran di pekan Donggonggon, Penampang.

Kejadian itu mendapat kecaman netizen dan menganggap perbuatan artis itu memalukan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.

“Suspek ditahan pada hari sama laporan polis dibuat mangsa.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 4:26 PM