Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


PENDUDUK sekitar Seksyen 17, Shah Alam, dikejutkan dengan kehadiran seekor buaya di pintu kunci air Sungai Renggam, semalam.

Reptilia itu dirakam orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian dan turut tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor, Haidar Khan Mokbolhasan berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kewujudan buaya berkenaan menerusi talian Hotline kira-kira jam 2 petang.

“Aduan rasmi dibuat penduduk semalam tetapi maklumat awal berkaitan reptilia ini kita peroleh melalui laman sosial Facebook (FB) komuniti setempat.

“Saya sudah mengarahkan anggota dan pegawai memantau kawasan berkenaan sejurus aduan dilaporkan. Namun ketika anggota berada di sana, haiwan berkenaan tidak muncul,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Haidar berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan sehingga dapat mengesan buaya berkenaan.

“Setakat ini, anggota dan pegawai hanya membuat pemantauan secara berkala.

“Jika ada keperluan memasang perangkap, kita akan memasangnya,” katanya.

Katanya, kemunculan buaya sekitar kawasan ini bukan kejadian pertama dilaporkan memandangkan sungai berkenaan berada bersebelahan Sungai Klang yang hanya dipisahkan dengan kunci air.

Berikutan itu, Haidar berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati di sekitar kawasan itu kerana reptilia berkenaan akan muncul pada bila-bila masa.

“Ingin saya ingatkan juga kepada penduduk setempat supaya tidak mengambil tindakan sendiri jika terlihat buaya di kawasan berkenaan atau di mana-mana, teruskan melapor perkara ini kepada pihak kami.

“Sebarang aduan, orang ramai boleh menyalurkannya terus ke talian 03-9086 6800 atau Hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 5:14 PM
PENDUDUK sekitar Seksyen 17 dikejutkan dengan kelibat seekor buaya di pintu kunci air Sungai Renggam. FOTO IHSAN PEMBACA.