Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


“VIDEO-VIDEO ini kita tak nak layan. Kalau kita layan ia akan menghasilkan satu budaya mengeluarkan video banyak-banyak. Silap-silap semua Menteri keluar video.”

Demikian pendirian Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad berhubung video seks yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang mengaku terbabit dalam video berkenaan.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, tiada perbincangan dibuat parti berkenaan kerana ia tidak relevan untuk dibincangkan.

“Kita (Parti Amanah Negara) tak bincang. Bagi kita tak relevan. Kalau kita layan ia akan menghasilkan satu budaya mengeluarkan video... banyak-banyak pula.

“Kita tak layan, kita tidak mahu menggalakkan politik seperti ini,” katanya dalam sidang media dalam Majlis Aidilfitri anjuran Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pihak yang benar-benar serius membuktikan berlaku salah laku berkenaan sepatutnya menggunakan saluran yang lebih bertanggungjawab.

“Orang yang betul-betul serius kalau ada video itu dia tak sebar luas dia akan bawa pergi ke polis ke atau ke pihak yang bertanggungjawab.

“Awak sebar luas ni tidak menunjukkan benar-benar serius tetapi lebih pada nak jatuhkan air muka orang. Jika betul-betul ada (bukti) pergi kepada pihak berwajib. Tak perlu sebar,” katanya.

Ditanya adakah sokongan rakyat terhadap kerajaan akan terjejas, Khalid berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilai.

“Terpulang... kena tanya rakyat. Tapi saya rasa kalau rakyat berfikir seperti mana yang saya sebut kalau betul-betul perkara ini serius, betul-betul bukan berniat jahat caranya bukan dibuat seperti ini.

“Dia ambil video dan pergi kepada polis atau jabatan agama, buat laporan. Itu saja. Tak perlu sebar.

“Ini semua memang ada niat jahat. Jadi kita seru rakyat jangan layan benda ni,” katanya.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan penyebaran video lucah yang didakwa mirip Mohamed Azmin bersama seorang lelaki di sebuah bilik.

Seorang lelaki dikenali sebagai Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya adalah individu dalam klip video yang dikaitkan dengan menteri berkenaan.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menafikan pembabitannya dalam video itu dan menganggapnya sebagai tuduhan jahat serta kejam.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat Biro Politik memaklumkan kedudukan Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden parti itu kekal dan menyerahkan siasatan kepada polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga merasakan perkara itu tidak benar dan dilakukan individu yang mempunyai agenda politik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 6:37 PM
KHALID ketika ditemui selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri 2019 MAB. FOTO Khairul Azhar Ahmad