ROHAYA (kanan) bersama rakan setugas APM Segamat menunjukkan cara menangkap ular. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail
am@metro.com.my


“JIKA tidak yakin, tangguhkan dulu niat menangkap ular tedung selar kerana reptilia berbisa ini seolah-olah mampu membaca degupan jantung orang yang ‘gelabah’,” kata anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, Rohaya Abdullah, 40.

Katanya, ular tedung selar antara spesis sukar diduga sikapnya dan ketika kelihatan mudah didekati tiba-tiba bertukar agresif dan cuba menyerang objek berhampiran.

“Ketika mula-mula menyertai APM, saya akui memang geli dengan ular namun selepas menjalani pelbagai pendedahan sebagai anggota sukarelawan APM, saya kini boleh mengawal perasaan.

“Ular tedung selar betina amat garang dan mampu berdiri melebihi ketinggian manusia sekiranya mahu menyerang. Selama ini, saya tiada sebarang petua namun membaca beberapa surah Nabi Sulaiman.

“Selain itu, saya mengikut prosedur diberikan antaranya berpakaian keselamatan lengkap termasuk sarung tangan, but dan kelengkapan menangkap ular,” katanya ketika ditemui di pejabat APM Segamat di Jalan Omar, Segamat, hari ini.

Menurutnya, ular tedung selar akan keluar dari habitatnya pada musim panas untuk mencari perlindungan berbanding ular sawa yang gemar mendiami kawasan paya dan berair.

“Jangan pandang rendah keupayaan ular sawa batik sebesar lengan bayi kerana ia mempunyai kekuatan melilit yang mampu mematahkan tulang lengan lelaki dewasa dan mampu menumbuk.

“Ular sawa besar akan ‘menumbuk’ menggunakan mulutnya terutama di dada menyebabkan mangsa sesak nafas dan apabila terjatuh, ular itu akan melilit untuk dijadikan makanan.

“Sejak bertugas, saya bersyukur tidak pernah dipatuk ular dan pada masa sama berjaya menangkap 60 ular sawa batik, 10 ular tedung selar dan ratusan sarang tebuan dimusnahkan di sekitar kebun serta rumah penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Segamat, Kapten (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, seramai 28 anggota APM berusia 20 hingga 50 tahun termasuk pegawai bertugas di Segamat.

Katanya, daripada jumlah ini, lapan adalah anggota wanita dan semua anggota diberikan latihan bantuan kecemasan, menangkap ular dan memusnahkan sarang tebuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 6:47 PM