KENDERAAN polis membawa keluar mayat di Kampung Kuala Koh. FOTO Fathil Asri
Nor Fazlina Abdul Rahim


LAPAN mayat terakhir Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kesemua mayat berkenaan dibawa keluar antara 1.10 petang sehingga 6.40 petang.

Katanya, identiti kesemua mangsa dipercayai Mohd Salleh Kaizan dan Amer Lee masing-masing berusia setahun, Puspa Lee, 5, Farah Rahim, 20, Haika Rahim, 22, Leha Hamdan, 26, Jais Keladi, 55 dan Jelik Jong yang usia tidak dikenal pasti.

“Hari ini empat kumpulan yang masuk bagi operasi membawa keluar dan perjalanan hari ini dipermudahkan walaupun ada lokasi perlu menggunakan bot menyeberangi sungai selama dua jam.

“Dengan membawa keluar lapan mayat hari ini, kesemua 12 mayat yang didakwa meninggal dunia sudah ditemui dan dihantar ke HGM,” katanya pada sidang media di Gua Musang, hari ini.

Mohd Taufik berkata, pusat operasi di Felda Aring 10, di Gua Musang belum ditutup walaupun kesemua mayat sudah dibawa keluar.

“Kita hanya menangguhkan operasi dan menunggu arahan lanjut. Pada masa sama, keanggotaan operasi juga akan diperkecilkan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sepanjang Ops Batek berlangsung.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:28 PM