SHAHARUDIN (dua dari kanan) memeriksa lori tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel, di Pejabat KPDNHEP Kemaman di Chukai, hari ini. FOTO Rosli Ilham.


LIMA kru kapal dan seorang pemandu lori ditahan ketika mengepam diesel dari sebuah kapal ke dalam lori tangki di sebuah jeti persendirian di Sungai Kuang, Chukai, awal pagi semalam.

Kegiatan haram mereka terbantut selepas lima anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kemaman melakukan serbuan pada 1 pagi.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Shaharudin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak tiga bulan lalu.

Beliau berkata, ketika melakukan pemeriksaan, pihaknya mendapati terdapat hos minyak disambungkan dari lori tangki ke dalam kapal terbabit.

“Kami mengesyaki enam lelaki terbabit melakukan aktiviti pemindahan diesel secara tidak sah.

“Pemeriksaan lanjut terdapat sejumlah 104,200 liter diesel dan kami menyita kapal dan lori terbabit. Semua rampasan bernilai RM508,400,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Cawangan Kemaman di Chukai, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya diesel terbabit akan dijual kepada kilang atau pengusaha industri di kawasan sekitar daerah ini.

Menurutnya, sekiranya dijual dengan harga industri sebanyak RM1.90 seliter, mereka mampu memperoleh pendapatan sekitar RM198,000.

“Semua kru kapal dan pemandu lori berusia 30-an terbabit ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kami percaya berlaku aktiviti penjualan minyak di tengah laut sebelum kapal berkenaan membawa minyak terbabit untuk dijual di darat.

“Semua suspek dan barang kes dirampas akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah dengan niat melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda bagi perseorangan sebanyak RM1 juta,” katanya.

Shaharudin berkata, pesalah boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi syarikat perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan membabitkan semua akta sepanjang tahun ini, KPDNHEP Terengganu sudah melakukan 23,552 pemeriksaan di semua premis.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 341 kes dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM829,386 dengan jumlah kompaun sebanyak RM44,550.

Katanya, bagi hukuman denda di mahkamah pula, sebanyak 30 kes sudah disabitkan dengan kesalahan dengan denda RM140,800 bagi keseluruhan kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 9:01 PM