DR Fadzli Cheah (dua dari kanan) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Muhammadiah.
Balqis Jazimah Zahari


MASJID Muhammadiah atau dikenali sebagai Masjid Cina Ipoh di Taman Tasek Jaya, akan memulakan projek naik taraf fasa kedua pada Ogos ini membabitkan kos pembinaan sebanyak RM3.5 juta.

Pengerusi masjid Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata, projek membabitkan pembinaan dewan berkonsep terbuka itu bertujuan memudahkan penganjuran pelbagai program keagamaan termasuk acara yang boleh menarik minat masyarakat bukan Islam ke masjid itu.

“Fasa pertama termasuk dewan solat dan tempat wuduk sudah selesai, kini kami mahu membina pusat dakwah berkonsep dewan terbuka.

“Pusat berkenaan akan digunakan untuk meningkatkan perpaduan, keharmonian serta mewujudkan suasana lebih selesa ketika penganjuran pelbagai acara kebudayaan seperti sambutan Tahun Baharu Cina dan festival tanglung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri dirasmikan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Ia dihadiri lebih 1,000 tetamu pelbagai kaum di pekarangan masjid berkenaan, semalam.

Fadzli Cheah berkata, ketika ini pihaknya berjaya mengumpul dana awam sebanyak RM1 juta dan bangunan tapak sementara yang digunakan ketika ini akan dirobohkan untuk membina dewan terbuka itu.

“Kami memerlukan lebih RM2 juta bagi fasa kedua. Jenis atap pada dewan terbuka itu mahal, kalau boleh kami mahu mendapatkan reka bentuk sama yang perlu dipesan dari China,” katanya.

Menurutnya, pembinaan fasa kedua itu juga diperlukan berikutan ruang dewan solat yang ada kini tidak cukup untuk menampung jemaah yang semakin ramai terutama ketika solat Jumaat.

“Kami berharap dapat menampung 1,500 hingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa berbanding 1,000 jemaah ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusop berkata, selepas penganjuran pelbagai program harmoni sejak lima tahun lalu di masjid berkenaan, ia diyakini berjaya mempromosi konsep perpaduan berlandaskan ajaran Islam kepada penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:30 AM