Muhammad Apendy Issahak


LELAKI dicekup polis selepas tindakannya mencuri wang dari tabung di Masjid Gufran, Manjoi, Ipoh, yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi Sabtu lalu, suspek berusia 28 tahun dirakam mengumpil dua tabung di masjid berkenaan dan melarikan sejumlah wang dianggarkan RM500.

Susulan penularan video itu, polis melancarkan Op Aidilfitri dan berjaya mengesan serta memberkas suspek 1.30 tengah hari semalam di depan sebuah restoran di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kes kecurian itu daripada Timbalan Pengerusi Masjid Gufran, Fakhrul Razzi Mohd Hashim, 56.

“Menurut pengurusan masjid, satu daripada tabung berkenaan diletakkan oleh Bahagian Amal Kebajikan Islam Perak (BAKIP) yang hanya dibuka sebulan sekali.


AKSI lelaki mencuri wang tabung masjid dirakam CCTV. FOTO ihsan pembaca

“Satu tabung lagi pula ditempatkan di ruang solat muslimat yang dipercayai nilai wang didalamnya tidak banyak kerana sudah dibuka oleh pihak pengurusan masjid sebelum kejadian berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ali berkata, berdasarkan keterangan daripada pengadu, suspek dipercayai pernah dilihat datang ke masjid berkenaan ketika Ramadan lalu.

“Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berjaya menahan seorang lelaki jam 1.30 tengah hari semalam.

“Semakan mendapati, lelaki beralamat di Kampung Manjoi Lama itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kini direman untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 4:21 PM