ANGGOTA bomba menangkap buaya yang tersangkut pada pancing di Kampung Gelam, Song. FOTO ihsan bomba
Mohd Roji Kawi


SEORANG Pegawai Bomba Bantuan (PBB) cemas seketika selepas menyedari seekor buaya tersangkut pada pancing yang dipasang di tasik di belakang rumahnya di Kampung Gelam, Song, petang tadi.

Bimbangkan keselamatannya berikutan saiz buaya itu yang agak besar, PBB terbabit menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song untuk meminta bantuan menangkap reptilia itu.

Ketua BBP Song, Penolong Penguasa Bomba Frederick Aok berkata, tujuh anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu pada jam 4.01 petang.

“Setibanya di lokasi, komander operasi memeriksa kawasan itu dan mendapati memang ada seekor buaya tersangkut pada mata pancing.

“Beliau kemudian mengarahkan anggota menangkap buaya itu dan mengikatnya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Selepas berjaya diikat, buaya sepanjang 2.5 meter dengan ukur lilit 80 sentimeter itu dibawa balik ke BBP Song.

Katanya, reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:09 PM