MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Ramdzan Masiam
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah memberikan keterangan kepada pihak polis semalam berhubung dakwaan kaitan beliau dalam video lucah yang tersebar di media sosial.

Peguamnya, N Surendran berkata, pejabat menteri itu dihubungi oleh polis pada Ahad lalu untuk merakamkan keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan.

“Mengutamakan perkara itu, semalam, Datuk Seri Mohamed Azmin memberi sudah kenyataan kepada polis untuk membantu mereka dalam siasatan.

“Terdapat tanda-tanda yang jelas mengenai percubaan yang teratur dan sistematik untuk menjatuhkan Menteri dengan serangan palsu dan berniat jahat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaku video terbabit mempunyai akses kepada data peribadi ahli-ahli parti, cara yang canggih dan mempunyai agenda politik yang jelas.

“Video itu adalah serangan fitnah dan bermotifkan politik terhadapnya (Azmin).

“Pihak kami percaya polis akan mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap pelaku mengikut undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam video lucah yang tersebar dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat dan kejam.

Ia susulan pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, yang kini digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin, mendakwa dirinya adalah individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Haziq sebelum ini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung video terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 9:39 AM