PELAJAR dan guru pengiring Sekolah Menengah Sains Tapah, Perak bersama pingat dan anugerah Khas yang diperoleh dalam penyertaan JDIE 2019 yang berlangsung pada 15 hingga 17 Jun. FOTO Ihsan UNIMAP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SERAMAI 48 pelajar daripada enam sekolah di Malaysia melakar sejarah apabila meraih tujuh pingat emas dalam Ekspo Reka cipta, Idea dan Invensi Jepun (JDIE 2019) di Tokyo, Jepun, semalam.

Penyelaras Pameran Malaysia di JDIE 2019, Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, Malaysia mendominasi pingat emas dan perak selepas mengatasi 15 negara dalam pertandingan reka cipta di peringkat antarabangsa.

“Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 Jun lalu menyaksikan 250 penyertaan dari 15 negara seperti Jepun, Taiwan, Malaysia, Poland, Indonesia, Arab Saudi, Thailand, Hong Kong, Kanada, Iran, Filipina, Kemboja, Sudan, China, Macau, Amerika Syarikat dan Zambia.

“Malaysia yang diwakili oleh enam sekolah dari seluruh Malaysia mengatasi pesaing dari negara maju seperti tuan rumah sendiri iaitu Jepun, Amerika Syarikat dan China,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohd Mustafa, paling membanggakan apabila kejayaan negara berjaya dilakarkan oleh lapan penyelidik muda dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Tapah, Perak selepas memperoleh dua emas dan satu anugerah khas menerusi ciptaan mereka, NanoCFib.

“NanoCFib adalah bahan alternatif yang boleh menggantikan gentian fiber dalam menghasilkan sesuatu produk berkaitan kejuruteraan mahupun pembinaan.

“Ia diperbuat daripada mengkuang dan kapok, malah penciptaannya yang menggunakan teknik ‘bagging’ secara tidak langsung menjimatkan masa dalam menghasilkannya,” katanya.

Beliau berkata, produk terbabit memikat hati juri selepas rekaan itu disahkan tidak membahayakan kesihatan manusia kerana menggunakan bahan semula jadi dalam penghasilannya serta bebas penggunaan sebarang bahan kimia.

“Selain itu juga, produk ini dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi di beberapa kawasan khusus yang mempunyai tanaman mengkuang dan kapok,” katanya.

Selain SMS Tapah, turut meraih pingat emas pada ekspo itu ialah Kolej Vokasional Keningau (Sabah), Politeknik Port Dickson (Negeri Sembilan), Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Datuk (Johor) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama (Selangor).

Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar, Johor meraih satu pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 11:00 AM