DR Wan Azizah ditemui selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Siber di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Amir Abd Hamid


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tiada isu berbangkit mengenai perletakan jawatan beliau.

Katanya, ia disebabkan janji Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentuk kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, beliau adalah Timbalan Perdana Menteri.

“Saya ingat ia (isu perletakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri) tidak berbangkit.

“Sebab kita (PH) sudah janji, Perdana Menteri adalah Tun Dr Mahathir dan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ketika saudara Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ambil alih sebagai Presiden parti PKR pun, perkara itu tidak ada perbezaan,” katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Siber di Kuala Lumpur, hari ini.

Wan Azizah berkata demikian ketika mengulas permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli yang meminta beliau meletakkan jawatan terlebih dulu sebelum Anwar mengambil alih kepemimpinan negara.

Beliau sekali lagi menegaskan, akan meletak jawatan apabila Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Saya dah katakan, apabila Anwar jadi Perdana Menteri saya step down (letak jawatan),” katanya.

Mengenai waktu peralihan kuasa itu, beliau menyerahkan kepada Dr Mahathir untuk menentukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 12:36 PM