Pekerja memunggah dan mengasingkan durian di ladang persendirian di Pagoh Jaya untuk dieksport ke luar negara. FOTO Adi Safri
Mohamad Hussin


KOS yang tinggi sehingga mencecah lebih RM20 juta bagi menyediakan kemudahan fasiliti menyebabkan syarikat Bumiputera belum mampu untuk bersaing dengan pengusaha lain.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, pengusaha durian premium seperti Musang King (D197) dan Black Thorn atau duri hitam (D200) tidak perlu risau kerana mereka masih berpeluang mengeksport raja buah itu ke China.

Menurutnya, beberapa syarat ketat perlu dipatuhi termasuk membuat permohonan mendapatkan sijil Fitosanitasi yang dikeluarkan Jabatan Pertanian (DOA).

Katanya, walaupun kerajaan China melalui Pentadbiran Awam Kastam China (GACC) meluluskan lima syarikat, ia bukan menjadi halangan buat pengusaha durian tempatan memasarkan buah berkenaan.

“Mereka boleh menggunakan kemudahan fasiliti yang menyediakan rawatan sejuk beku oleh syarikat terbabit sebagai syarat utama kerana fasiliti itu telah diperakui oleh GACC dalam melaksanakan rawatan.

“Malah, pengusaha terbabit boleh terus memasarkan produk mereka ke luar negara tanpa menggunakan nama syarikat berkenaan dan setiap ladang durian wajib mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik (myGAP) dan barulah buah berkenaan diambil, dirawat dan dieksport.

“Cuma proses rawatan sejuk beku perlu dijalankan di syarikat berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kejayaan Malaysia mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji ke China selepas Majlis Pelancaran Pengeksportan Sulung Buah Durian Sejuk Beku Malaysia Ke China diadakan di Putrajaya, semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dipetik sebagai berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menjangka 1,000 tan durian jenis premium iaitu Musang King dan Black Thorn akan dieksport ke China setiap bulan mulai bulan depan.

Setakat ini, kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji diberikan kepada lima syarikat iaitu Exofruits Industry Sdn Bhd, JL Food Industries Sdn Bhd, PHG Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd, Top Fruits Sdn Bhd dan KAMI Food Services Sdn Bhd.

Jamal Harizan berkata, pihaknya percaya ramai pengusaha durian di luar sana yang kecewa kerana tidak dapat memasarkan buah durian ke China kerana menganggap hanya syarikat itu saja yang diberi hak kebenaran mengeksport.

“Kita menghantar 14 nama syarikat yang mempunyai fasiliti rawatan sejuk beku yang berdaftar dengan DOA dan mempunyai sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) dari Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk syarikat Bumiputera kepada GACC untuk pertimbangan.

“Daripada jumlah itu, hanya tujuh syarikat terpilih untuk diaudit dan hasil saringan mendapati hanya lima syarikat yang terpilih manakala dua lagi syarikat diminta menambah baik kemudahan fasiliti berkenaan.

“Malah, wakil GACC turut membuat lawatan ladang durian yang mempunyai myGAP milik syarikat berkenaan untuk mendapatkan kepastian bahawa mereka turut mempunyai ladang,” katanya.

INFO

Peralatan yang diperlukan di fasiliti pemprosesan

• Ruang Penerimaan (bakul, troli, sarung tangan)

• Ruang Pembersihan (sikat, berus, blower)

• Ruang Rawatan (air bersih, air berklorin)

• Ruang Pengeringan (kipas angin, blower)

• Ruang Pembelahan (sarung tangan kain, parang, meja stainless steel, troli empat segi bertingkat, bakul bekas kulit durian, apron, penutup mulut dan kepala

• Ruang mengeluarkan ulas dan mengasingkan isi (apron, sarung tangan, penutup mulut dan kepala, dulang/tray aluminium, mesin pengasingan (spinner)

• Ruang Penimbangan (penimbang elektronik)

• Ruang Pembungkusan (sarung tangan plastik, meja stainless steel, troli empat segi bertingkat, plastik pembungkus dan mesin seal)

• Ruang Blast Freezer (blast Freezer (suhu -30°C)

• Ruang Penyimpanan (troli bertingkat, freezer)

Berita berkaitan

1,000 tan metrik durian premium ke China [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 7:02 PM