SATU daripada tiga bot nelayan Vietnam dirampas dalam Ops Naga selepas menceroboh perairan negara dekat Pasir Puteh, semalam. FOTO Ihsan APMM
Siti Nor Hidayatidayu Razali


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 36 nelayan warga Vietnam bersama tiga bot di perairan negara sekitar 81 sehingga 98 batu nautika dari Muara Tok Bali, dekat Pasir Puteh, semalam.

Mereka ditahan antara 7.30 sehingga 10.30 pagi menerusi Ops Naga oleh Kapal Maritim Jujur (KM Jujur) diketuai Leftenan Komander Maritim Tan Ah Bik yang turut merampas 200 kilogram pelbagai jenis ikan.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, keseluruhan rampasan bernilai RM1.3 juta.

Katanya, tiga bot itu cuba melarikan diri dan pihaknya mengejar selama setengah jam sebelum berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati tiga bot itu dinaiki antara enam sehingga 16 awak-awak dan tekong.

“Mereka yang ditahan berusia antara 13 hingga 45 tahun termasuk tiga remaja bawah umur,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka baru dua hari masuk ke perairan negara ini dan mencuri hasil tangkapan untuk dibawa ke negara mereka.

Menurutnya, tiga bot itu dibawa masuk ke Jeti APMM Tok Bali untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

“Masyarakat setempat, komuniti nelayan dan pengguna yang melihat sebarang kejadian jenayah atau kecemasan di laut supaya menghubungi APMM Kelantan melalui talian MERS 999 atau 09778 0070 (Pusat Operasi).

“Selain itu, aduan juga boleh dibuat menerusi laman sesawang e-aduan di http://aduan.mmea.gov.my dan maklumat pengadu akan dilindungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 8:12 PM