NAJIB keluar dari kamar mahkamah pada sesi rehat, semalam.
Murni Wan Omar


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu Ahli Lembaga Pengarah (ALP) SRC International Sdn Bhd (SRC International) memberi kepercayaan penuh kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil.

Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail, 54, berkata, demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, Muhammad Shafee mencadangkan kepada Ismee kejujuran beliau penting kerana beliau orang perantara antara ALP dengan pihak pengurusan.

SHAFEE: Setuju saya katakan Lembaga Pengarah bersangka baik dan percaya dengan Nik Faisal?

ISMEE: Ya, kami atau saya bersangka baik dan percaya dengan keseluruhan rantaian termasuk Nik Faisal dan Perdana Menteri sendiri.

SHAFEE: Oleh kerana kamu mempercayai Nik Faisal, kamu percaya beliau sebagai perantara antara penasihat dan Lembaga Pengarah?

ISMEE: Ya.

SHAFEE: Kamu tidak akan tahu sama ada Nik Faisal memberi tanggapan salah kepada Perdana Menteri, sekali gus memberi tanggapan yang salah kepadanya?

ISMEE: Ya.

SHAFEE:Setuju saya katakan selepas hari ini (semalam), anda mempunyai pandangan berbeza terhadap Nik Faisal?

ISMEE:Ya.

SHAFEE: Jika anda tahu perkara ini lebih awal, anda akan lebih berhati-hati?

ISMEE: Saya mungkin tidak akan menerima pelantikan itu (Sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRC International).

Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini, gamat dengan ketawa apabila Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram melakukan kesilapan ketika menyebut nama ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi nama penyanyi dan pelakon wanita luar negara terkenal, J Lo atau Jeniffer Lopez ketika menyoal semula saksi ke-39 itu.

SITHAMBARAM: Apa kedudukan Najib dalam 1MDB (1Malaysia Development Berhad)?

ISMEE: Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

SITHAMBARAM: J Lo?

ISMEE: Tidak ada.

SITHAMBARAM: Adakah Najib rakan sekutu J Lo?

ISMEE: Saya tidak tahu.

Pada peringkat itu, Muhammad Shafee yang duduk di bangku pembelaan bersuara dengan mengatakan Jho Low, bukan J Lo.

ISMEE: Anda bertanya kepada saya mengenai J Lo atau Jho Low?

Semua yang berada di dalam mahkamah ketika itu, ketawa dengan soalan Ismee itu.

Terdahulu, Ismee mengakui di Mahkamah Tinggi di sini, bahawa pihaknya tidak pernah berbincang atau bersemuka dengan Najib berhubung masalah dihadapi SRC International.

Menurutnya, masalah itu hanya disampaikan kepada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias ketika itu.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, Ismee berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Azlin apabila arwah bertanya berhubung keputusannya untuk meletakkan jawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 6:00 AM