Rizanizam Abdul Hamid


KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) melakar kejayaan apabila mencapai kedudukan ke-70 dalam Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS-WUR) 2020, yang dikeluarkan hari ini.

Pencapaian skor keseluruhan 67.1 peratus itu juga berjaya meletakkan universiti terbabit dalam kalangan tujuh peratus teratas daripada 1,001 institusi yang disenaraikan oleh QS-WUR.

Naib Canselor UM, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu menunjukkan peningkatan 17 tempat, menjadikan UM diiktiraf sebagai salah satu universiti terkemuka di dunia dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi dan pengantarabangsaan.

UNIVERSITI Malaya berjaya mencapai kedudukan dalam Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS-WUR) 2020. GAMBAR hiasan.
UNIVERSITI Malaya berjaya mencapai kedudukan dalam Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS-WUR) 2020. GAMBAR hiasan.

“Matlamat kami adalah untuk sentiasa menjadi penanda aras UM terhadap universiti cemerlang lain di seluruh dunia.

“Pencapaian ini juga sejajar dengan misi kami untuk diiktiraf sebagai institusi pengajian tinggi yang lebih tinggi di dunia dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan inovasi,” katanya.

Tambahnya, sejak 2014, UM telah menunjukkan peningkatan yang konsisten sebanyak 97 tempat dengan mengikuti pelan strategik universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:48 AM