PENGANGGUR, Wan Amirul Naaim Wan Ibrahim, 29 (dua dari kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas didakwa atas enam pertuduhan mengeluarkan wang simpanan milik ibunya berjumlah RM10,500 sejak setahun lalu. FOTO Zulkepli Osman
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas enam pertuduhan mengeluarkan wang simpanan milik ibunya tanpa kebenaran sejak November tahun lalu.

Tertuduh, Wan Amirul Naaim Wan Ibrahim, 29, dari Indera Mahkota, di sini, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan enam capaian tanpa kuasa dengan menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Rakyat dan mengeluarkan wang yang keseluruhan berjumlah RM10,500 milik Jamaliah Abd Jalil, 59, tanpa kebenaran.

Tertuduh melakukan kesalahan itu dari tempoh 4 November 2018 hingga 1 Januari lalu di mesin ATM Bank Rakyat di Indera Mahkota dan Mahkota Square.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Shuhada Tuan Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak bekerja dan mempunyai isteri serta dua anak.

Siti Aminah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan tarikh 22 Julai depan untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 1:14 PM