MAYAT terakhir Orang Asli suku Batek dibawa keluar dari Kuala Koh untuk di bawa ke Hospital Gua Musang bagi proses bedah siasat, baru-baru ini. FOTO Fathil Asri.
Muhamaad Razis Ismail


SEMUA 14 mayat dan rangka Orang Asli suku Batek Kuala Koh, Gua Musang sudah selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata proses pengebumian semula Orang Asli suku Batek itu diuruskan pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Bedah siasat semua mayat sudah selesai dan kita hanya menunggu untuk proses pengebumian semula.

“Setakat ini, kita tidak tahu bila proses pengebumian semula akan dijalankan kerana dalam urusan berkenaan, polis hanya membantu termasuk daripada segi kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta di Dewan Jubli Perak, di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, kawasan terbabit masih diklasifikasikan sebagai zon merah sehingga Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan.

“Polis masih lagi berada di pos kawalan di Kuala Koh cuma jumlah anggota dikecilkan selepas semua mayat berjaya ditemui,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 4:06 PM