SEORANG wanita maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di hadapan stesen minyak di persimpangan lampu isyarat Taman PKNK, Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Zuliaty Zulkiffli


“SUASANA ketika itu kelam-kabut kerana kemalangan itu membabitkan banyak kenderaan dan saya nampak wanita yang memandu kereta Perodua Kancil itu dalam keadaan separuh sedar manakala penumpangnya tidak bergerak,” kata seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 40-an.

Dalam kejadian 11.40 pagi hari ini, seorang penumpang wanita yang menaiki Perodua Kancil maut manakala pemandunya yang juga wanita parah selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di hadapan stesen minyak di Taman PKNK, Alor Setar.

Mangsa, Zareha Hamid, 52, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya berusia 50-an belum dikenal pasti identiti.

Ahmad berkata, kemalangan membabitkan banyak kenderaan seperti itu jarang berlaku.

Katanya, orang ramai yang berada di situ hanya membantu mangsa yang cedera manakala mangsa parah dan meninggal dunia pula berada dalam kereta itu sehingga pasukan bomba tiba untuk membantu mengeluarkan mangsa tersepit itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Penyelamat dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.44 pagi berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Anuar Abdul Hamid bersama dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi kejadian pada 11.47 pagi.

“Kemalangan di persimpangan lampu isyarat itu membabitkan enam kenderaan iaitu kereta Hyundai Getz, Toyota Fortune, kereta Ford, Honda CRV dan dua Perodua Kancil.

“Ketika itu didapati terdapat dua wanita berusia sekitar 50-an dalam kereta Perodua Kancil tersepit di tempat duduk dan anggota BBP Alor Setar mengeluarkan mereka dengan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, pemandu yang cedera parah dihantar ke hospital dengan ambulans manakala penumpang kereta itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis.

Beliau berkata, empat mangsa masih belum dikenal pasti identiti mereka dan hanya cedera ringan serta dihantar orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan enam kenderaan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 4:50 PM