Noorazura Abdul Rahman


“ALHAMDULILLAH, saya harap hukuman setimpal dijatuhkan terhadap mereka,”.

Itu luahan Habibah Ismail, 70, ibu Azrina Yakob, ketua pramugari Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.

Habibah berkata, dia sudah lama menantikan saat ini selepas lima tahun kejadian itu yang menjadi tanda tanya.

Ia susulan pendedahan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) diketuai Belanda hari ini yang menamakan tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine sebagai perancang utama tragedi itu.

“Saya bersama ahli keluarga sentiasa mengikuti perkembangan ini sama ada menerusi bacaan dalam akhbar, televisyen mahupun di Youtube, hari ini saya rasa lega dan terjawab segala soalan saya selama ini.

“Selama ini saya tak boleh terima akal pesawat penumpang boleh ditembak begitu, ia tidak patut berlaku, saya mengharapkan keadilan untuk anak saya,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Habibah dari Kampung Pelompang, Alor Mengkudu berkata, dia sering menziarahi pusara anak keduanya itu di Taiping iaitu di kampung halaman suami arwah.

Katanya, wajah arwah tidak pernah hilang dalam ingatan dan kesedihannya turut bertambah selepas kehilangan suami Yakob Silamsudin tiga tahun lalu akibat kencing manis.

“Arwah suami pernah menyatakan mahu melihat wajah pembunuh tapi tidak berkesempatan, bagaimanapun hari ini saya lega semuanya sudah terbongkar,” katanya.

JIT dalam satu sidang akhbar di Belanda memaklumkan keempat-empat suspek itu bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah wilayah Donetsk ketika kejadian.

Keempat-empat suspek terbabit akan didakwa di Mahkamah Jenayah Belanda.

Pesawat Malaysian Airlines itu meletup ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Semua 298 penumpang yang sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal dari negara ini terbunuh dalam tragedi terbabit.


Habibah menunjukkan gambar Azrina yang maut dalam tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 9:51 PM