LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Aizat Sharif


ANGGOTA polis trafik yang didakwa melepaskan tembakan sehingga mencederakan lengan kiri tukang paip dipertimbang untuk ditukarkan tugas ke bahagian pengurusan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan terhadap pihak yang terbabit dalam kejadian itu.

“Malah, anggota trafik berkenaan juga sudah pun membuat laporan polis selepas kejadian. Buat masa ini, anggota trafik berkenaan tidak ditahan tugasnya dalam perkhidmatan polis sebaliknya akan dipertimbangkan untuk dialihkan penugasan daripada penguatkuasaan kepada pengurusan.

“Dalam hal ini, apa yang kita nampak kedua-duanya melakukan kesalahan, baik dari pihak mangsa juga dari pihak polis namun terpulang kepada siasatan akan dijalankan nanti,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Alor Setar, hari ini.

Mohd Rozi turut menepis kenyataan keluarga mangsa dalam sidang media semalam yang mendakwa, anak mereka ditinggalkan oleh anggota polis berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.

“Terpulang kepada mereka (keluarga mangsa) untuk mengatakan apa saja tetapi anggota kami tidak pernah berbuat demikian dengan meninggalkan mangsa di tepi jalan.

“Malah, kenyataan bahawa anggota trafik itu ‘memberi amaran supaya tidak memberitahu sesiapa saja’ mengenai perkara itu juga adalah tidak benar dan biarlah siasatan dijalankan terlebih dulu untuk mengetahui perkara ini,” katanya.

Berita berkaitan

Tukang paip selamat dibedah

Tukang paip cedera terkena tembakan polis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 1:37 PM