GIOVANNA (kanan) mengucap dua kalimah syahadah di Masjid UMT. FOTO IHSAN UMT
Ahmad Rabiul Zulkifli


“HATI saya tersentuh setiap kali mendengar alunan al-Quran daripada pembesar suara masjid UMT (Universiti Malaysia Terengganu), sekali gus membuka hati saya mendalami Islam,” kata penuntut dari Itali, Giovanna Wolswijk, 24, ketika ditemui selepas Majlis Syahadah di Masjid UMT, Kuala Nerus, kelmarin.

Giovanna berkata, dia mula tertarik dengan Islam sejak Februari lalu sebelum mengkaji agama Islam dengan lebih mendalam melalui rakan dan ahli agama.

“Saya mula menyesuaikan diri dengan memberi salam kepada rakan selain belajar mengucap dua kalimah syahadah.

“Proses pengislaman saya berjalan lancar melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) dan banyak bimbingan diberikan PISM sejak saya mengutarakan keinginan untuk memeluk Islam.

“Perasaan saya sangat tenang sebaik mengucap dua kali syahadah dan teruja bergelar saudara baru,” katanya yang mengikuti pengajian sarjana di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).

Sementara itu, Pengarah PISM, Dr Riswadi Azmi berkata, PISM UMT akan memberi tumpuan kepada saudara baru dengan sumbangan awal zakat bernilai RM1,000 dan sumbangan zakat berterusan setiap semester bernilai RM700 sehingga tamat pengajian.

“Bagi memberi sokongan tambahan, PISM akan melantik pegawai angkat untuk bimbingan berterusan dan mengadakan kelas ‘Sharing Islam Class’ yang diadakan setiap minggu di PISM UMT.

“Kami membuka seluasnya ruang dan peluang kepada masyarakat bukan Islam untuk mengenali dan mendalami Islam sebenar dengan mengunjungi PISM dan sedia membantu sekiranya memerlukan bantuan dan penjelasan mengenai Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 2:59 PM