ANGGOTA bomba bersama penduduk kampung berusaha mencari Malling yang dilaporkan hilang di hutan di Sungai Sebatu, Tinjar, Marudi, sejak empat hari lalu. FOTO ihsan bomba.
Mohd Roji Kawi


BEBERAPA petunjuk sudah ditemui, namun pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gagal mengesan lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di hutan sejak empat hari lalu.

Mangsa, Malling Salleh, 79, dilaporkan hilang di hutan berdekatan kediamannya di Rumah Panjang Jemat, Sungai Sebatu, di Tinjar, Marudi, pada Ahad lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu dari Balai Polis Long Lama pada 7.26 malam Isnin lalu, gerakan SAR dilancarkan untuk mengesan lelaki berkenaan.

Beliau berkata, pada hari pertama pencarian, Selasa lalu, pasukan SAR menemui bakul rotan, topi dan kunci rumah milik mangsa di dalam semak yang jaraknya 30 meter dari kesan tapak kaki terakhir mangsa ditemui.

“Susulan penemuan itu, pasukan SAR menggiatkan pencarian dalam jarak 200 meter di keliling barangnya ditemui, namun mangsa gagal dikesan.

“Operasi pada hari pertama itu terpaksa dihentikan pada 5.07 petang berikutan keadaan gelap, ” katanya.

Beliau berkata, operasi hari kedua semalam pula, pasukan SAR menemui beberapa lagi barang milik mangsa di kawasan pencarian.

Menurutnya, pasukan SAR menemui sebatang joran milik mangsa pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi bakulnya ditemui pada hari pertama.

“Selepas itu, seluar panjang berwarna biru milik mangsa pula ditemui kira-kira tiga meter dari joran dan selepas itu sebilah parang milik mangsa pula ditemui.

“Bagaimanapun, pencarian sehingga 5.03 petang semalam, masih gagal mengesan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, operasi diteruskan hari ini dengan satu pasukan melakukan pencarian di sungai menggunakan perahu penduduk.

Menurutnya, radius pencarian diperluaskan sehingga tiga kilometer ke seberang anak sungai dan tiga kilometer daripada kawasan barang-barang mangsa ditemui.

“Pasukan SAR menghadapi masalah telekomunikasi dan terpaksa mendapatkan bantuan Kelab Radio Amatur Miri yang membekalkan set radio untuk memudahkan perhubungan antara kumpulan SAR yang terbahagi kepada beberapa kumpulan.

“Selain anggota bomba, pencarian membabitkan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 80 penduduk kampung dari enam rumah panjang berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 5:49 PM