Haziq (kiri) dan Mohamed Azmin. FOTO Facebook dan Arkib NSTP
Wan Faizal Ismayatim dan Irwan Shafrizan Ismail


TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan sudah mencadangkan kepada kepemimpinan parti supaya memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz sebelum ini.

Beliau berkata, cadangan itu diberi selepas mendapati Haziq membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke -14 lalu.

“Ya, perkara itu (pecat Haziq) masuk akal apabila turut diminta ahli lain, apa lagi yang boleh saya katakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dan berpuas hati dengan keputusan Lembaga Disiplin PKR memberi tempoh 14 hari kepada Haziq untuk menjawab surat tunjuk sebab, Mohamed Azmin berkata, itu keputusan Lembaga Disiplin.

“Keputusan sudah dibuat (Lembaga Disiplin),” katanya.

PKR setakat ini tidak memecat atau menggantung keahlian Haziq, sebaliknya meminta beliau menjawab surat tunjuk sebab kerana membuat pengakuan terbuka sebagai individu dalam video lucah dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Haziq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim, berkata rumusan itu diputuskan pihaknya dalam mesyuarat Ahad lalu, dan dibentangkan kepada Biro Politik parti semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:47 PM