Skuad Khas Harian Metro
am@metro.com.my


SEBANYAK 60 peratus pasaran rokok di negara ini dikuasai sindiket penyeludupan membabitkan RM5 bilion kerugian pendapatan cukai tidak terkutip.

Pengarah Perundingan Kesan Ekonomi dari Oxford Economics berpangkalan di United Kingdom (UK) Pete Collings berkata, statistik itu menunjukkan Malaysia adalah negara paling ditembusi di dunia membabitkan rokok seludup.

Katanya, berdasarkan kajian senario rokok seludup paling teruk berlaku di Malaysia timur apabila pasaran rokok seludup dijuarai Sarawak yang mencatatkan penembusan 83.5 peratus diikuti Sabah 81.3 peratus.

"Di Malaysia barat, penembusan pasaran rokok seludup tertinggi berlaku di tiga negeri pantai timur iaitu Kelantan membabitkan 78 peratus diikuti Terengganu sebanyak 76.5 peratus dan Pahang mencatatkan 72.5 peratus penguasaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian itu di Persidangan Meja Bulat Isu Penjualan Rokok Seludup di Malaysia di ibu negara, hari ini.

Turut menjadi panel pada persidangan itu Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar, Atase Siasatan Jenayah bagi Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri di Konsulat Amerika Syarikat (AS) Hong Kong, David Lum, bekas Atase Kastam UK, Kenneth Head dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Datuk Charon Wardini Mokhzani.

Collings berkata, negeri tertinggi di pantai barat dikuasai pasaran rokok seludup adalah Selangor (56.4 peratus), Kedah (55.2 peratus), Pulau Pinang (54.5 peratus), Melaka (52.4 peratus), Kuala Lumpur (50.8 peratus), Perak (46.2 peratus), Johor (43.9 peratus), Negeri Sembilan (43.6 peratus) dan Perlis (39.3 peratus).

Sementara itu, Akhbar berkata penubuhan badan bebas mengetuai pasukan petugas khas dalam menangani penjualan rokok seludup perlu disegerakan.

"Pasukan petugas khas ini perlu dianggotai pelbagai agensi kerajaan dan wakil industri untuk memastikan pencegahan penyeludupan rokok dilaksanakan secara komprehensif," katanya.

Dalam pada itu, David turut bersetuju kurangnya komunikasi antara agensi menyebabkan senario penyeludupan rokok yang biasanya serentak berkaitan jenayah lain terus berleluasa.

Bagi Kenneth, integriti adalah masalah utama penguatkuasa yang menjaga sempadan negara ini selain kurangnya kemudahan canggih.

"Integriti perlu bermula dari atas ke bawah. Ada anggapan jika menteri pun terbabit rasuah, mengapa saya tidak?

"Apabila ada pegawai baru ditempatkan, 80 peratus di situ ambil rasuah, bagaimana?

"Sepatutnya kena didik rasuah tak boleh lagi diterima. Memang ini akan mengambil masa panjang dan Kabinet juga kena reformasi ke arah kerajaan yang bersih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:51 PM
PENGUASAAN pasaran rokok seludup di Malaysia mengikut pecahan negeri. FOTO Nadim Bokhari