Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan tidak menolak kemungkinan kejadian sesak nafas dan muntah dialami 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, hari ini, seakan sama dengan simptom kesan pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya baharu dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan akan berhubung dengan Pengarah Kesihatan negeri bagi mengetahui situasi semasa.

“Berdasarkan maklumat awal daripada simptom dialami murid seperti muntah dan sesak nafas, kemungkinan besar berpunca dari pencemaran gas organik, sama seperti kes Sungai Kim Kim,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada kementerian akan mengeluarkan arahan kepada sekolah berkenaan ditutup, beliau berkata, ia masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

“Setakat ini situasi masih terkawal, apapun kita akan pantau dan lihat situasi ini bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk menentukan punca dan tahap pencemaran udara yang berlaku,” katanya.

Seramai 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, mengalami simptom sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang tadi, dipercayai akibat pencemaran udara.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.39 petang dan sebuah jentera dengan tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian sebagai tindak balas pertama.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati berlaku pencemaran udara dengan 15 murid mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:07 PM