Wan Mohd Zakri (lima kiri) bersalaman dengan Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST), Fazru Anuar Yusof ketika penyerahan kerusi roda sumbangan PPST kepada Mahkamah Syariah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


KERJA amal yang boleh memberi keinsafan dan pengajaran antara hukuman alternatif yang bakal diperkenalkan kepada semua pesalah syariah di Terengganu.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, hukuman alternatif itu sebagai tambahan kepada hukuman sedia ada seperti denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau enam kali sebatan.

Beliau berkata, setakat ini, hukuman alternatif yang dilaksanakan adalah menghantar pesalah syariah di pusat perlindungan dan pihaknya melihat keperluan menambah lagi hukuman alternatif.

“Kita sedia maklum hukuman sedia ada sekarang bagi sesetengah kes nampak tidak memberi kesan mendalam kepada pesalah terbabit sama ada hukuman denda atau penjara.

“Melihat situasi ini, kita melihat kepada keperluan untuk membuat hukuman alternatif untuk memberi keinsafan dan mendidik pesalah syariah.

“Sebagai contoh, pesalah terbabit perlu melakukan kerja amal seperti membersihkan masjid terpilih dan apa saja kerja amal khidmat sosial bersama masyarakat dalam tempoh ditetapkan.

“Ini bertujuan menimbulkan rasa keinsafan terhadap pesalah supaya mereka serik dan tidak mengulangi kesalahan itu lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST) di Bangunan Mahkamah Syariah di Kuala Terengganu hari ini.

Bagaimanapun, Wan Mohd Zakri berkata, perkara berkenaan masih dalam peringkat kajian bagi melihat semula hukuman yang wajar dikenakan terhadap pesalah syariah di negeri itu.

Katanya, pindaan peruntukan hukuman sedia ada wajar dilakukan kerana ia sudah terlalu lama dan tidak sesuai lagi dikuatkuasakan.

“Jadi kita sudah buat satu keputusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Exco Syariah yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat baru-baru ini untuk menjalankan satu kajian merangkumi semua enakmen yang ada.

“Ia masih dalam peringkat kajian terhadap penambahbaikan terhadap hukuman sedia ada, namun ia lebih tertumpu kepada mengadakan hukuman alternatif,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zakri berkata, khalwat antara kesalahan jenayah syariah paling tinggi direkodkan di negeri itu.

“Kesalahan yang tinggi bukan bermakna ia dilakukan pesalah sama tetapi jenayah khalwat ini peruntukan seksyen luas sama ada kerana berdua-duaan atau kerana bersubahat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:22 PM