PASIR GUDANG 20 JUN 2019. Pasukan keselamatan termasuk bomba pegawai serta pegawai perubatan berada di Sekolah Agama Taman Mawar Pasir Gudang selepas menerima laporan murid sekolah mengalami sesak nafas dan sakit kepala dipercayai terhidu bau gas bocor. NSTP/ZAIN AHMED
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


EPISOD pencemaran hingga mengakibatkan 15 murid Sekolah Agama (SA) Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 di Pasir Gudang, dirawat di hospital disifatkan berbeza dengan pencemaran Sungai Kim-Kim, Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan Dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, walaupun puncanya belum diketahui tetapi situasi dalam kejadian terbaharu itu lebih terkawal.

“Saya ingin maklumkan kepada orang ramai supaya jangan panik dan kita tidak tahu apakah punca sebenarnya.

“Ia sangat berbeza dengan Sungai Kim Kim (senario pencemaran udara akibat pembuangan sisa kimia),” katanya pada sidang media di Sekolah Agama Taman Mawar, malam ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mengalami masalah kesihatan supaya terus mendapatkan rawatan dan jangan menunggu lama.

“Keadaan terkawal dan kita ada pihak jawatankuasa yang memantau situasi di sini. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:27 PM