Mohd Khuzzan (tengah) melihat senarai mangsa pencemaran udara di Pasir Gudang. FOTO Ihsan Bernama
BERNAMA

KEJADIAN pencemaran udara yang berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang petang tadi turut menjejaskan sebuah lagi sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kejadian bagaimanapun hanya mengakibatkan 13 murid dan dua kakitangan dari kedua-dua sekolah itu yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, setakat ini.

“Murid itu berusia antara tujuh hingga 12 tahun. Empat daripadanya dimasukkan ke Zon Merah (kritikal), tiga (Zon Kuning-separa kritikal) dan lapan yang lain termasuk dua kakitangan sekolah dimasukkan ke Zon Hijau (tidak kritikal). “Tiada yang masuk wad,” katanya pada sidang media selepas melawat sekolah terbabit.

Mohd Khuzzan berkata, punca kejadian masih disiasat dan keadaan juga sudah pun terkawal.

“Sementara waktu ini, kita tidak ada keperluan untuk membuka bilik gerakan, namun kita akan pantau situasi kerana bomba memaklumkan keadaan bacaan kualiti udara sekarang adakah kosong, maksudnya baik.

“Jadi, kita akan terus pantau sehingga Jumaat, Sabtu dan segala keputusan kita akan buat selepas itu,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai tidak panik kerana pihak berkuasa sedang melakukan yang terbaik untuk memantau situasi.

“Kalau mereka (penduduk) di kawasan sekitar ini ada masalah, terus dapatkan rawatan dan jangan tunggu lama,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 11:44 PM