FARID diperintah bela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Sarah Zulkifli


PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil diperintah bela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas empat pertuduhan termasuk menampar anggota polis trafik dan orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, tahun lalu.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Nor Ariffin Hisham selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Selepas meneliti dan mempertimbangkan keterangan, saksi, eksibit dan penilaian maksimum yang kredibel (meyakinkan), pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

“Disebabkan itu, tertuduh diperintah untuk bela diri,” katanya.

Mahkamah menetapkan selama dua hari bermula 16 Julai ini bagi prosiding sambung bicara membela diri.

Dalam prosiding membela diri itu nanti, Farid memilih memberi keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi.

Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran manakala Datuk Amirul Ridzuan Hanif bertindak sebagai peguam bela Farid.

Pada 16 Januari 2018, Farid mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 36 dan Konstabel Mohd Nizam Jamaluddin, 25.

Farid Kamil juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam dengan niat menghalangnya melakukan tugas.

Bagi pertuduhan keempat, pelakon itu turut didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Mohd Nizam sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Semua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Pada 15 Mei lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan Farid dipenjara sembilan bulan selepas dia memilih untuk berdiam diri pada prosiding pembelaan bagi kes menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC).

Mahkamah turut memerintahkan Farid berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selain menolak penangguhan pelaksanaan hukuman.

Selepas menjalani hukuman penjara selama 35 hari di Penjara Kajang, pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkannya menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan sehingga rayuan terhadap keputusan hukumannya diputuskan.

Farid dibenarkan bebas dengan jaminan RM10,000 serta pasport serahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Suami kepada pelakon Datin Diana Danielle sebelum ini menjalani hukuman penjara selama 35 hari di Penjara Kajang sebelum permohonannya didengari di Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 2:37 PM