Haziq (kiri) dibebaskan dengan jaminan polis di IPD Dang Wangi hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Haziq (kiri) dibebaskan dengan jaminan polis di IPD Dang Wangi hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Mohd Husni Mohd Noor


BERDASARKAN sistem perundangan Islam, jika individu itu mengaku (berikrar) melakukan kesalahan maka, dia sudah boleh didakwa dan dibicarakan di mahkamah.

Mengulas mengenai perkara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin berkata, jika seseorang itu mengaku melakukan kesalahan maka, hanya dia seorang sahaja yang boleh didakwa dan tidak boleh sekalikan orang lain bersama.

“Kalau dia sahaja mengaku, maka hanya dia sahaja yang kena (didakwa) dan dia tidak boleh sekalikan orang lain bersama," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Sekolah Kebangsaan Desa Pinggiran Putra (Sederap), Sepang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengakuan dibuat Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, yang mendakwa terbabit dalam video lucah bersama seorang menteri kanan kerajaan, baru-baru ini.

Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya individu dalam klip video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, Mohamed Hanipa berkata, mengikut undang-undang Islam juga, seseorang itu boleh menarik balik lafaz ikrarnya (pengakuan), biarpun pada peringkat jatuh hukum.

“Kalau dia tarik balik maknanya ada keraguan. Dalam undang-undang Islam sebarang keraguan tidak boleh diteruskan. Bagaimanapun, perkara itu (tarik balik pengakuan) tidak berlaku dalam undang-undang sivil,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui pada persidangan tahunan Pemuda PAS di Kuantan berkata, Islam menetapkan seseorang yang mengaku melakukan kemungkaran wajar dihukum.

“Jika pihak berkuasa tidak memberi perhatian kepada individu yang membuat pengakuan melakukan kemungkaran ada kemungkinan lain akan berlaku.

“Saya bimbang satu masa nanti akan muncul pula orang lain yang mengaku buat benda ni, buat benda itu. Sebab itu dalam Islam, yang mengaku mesti dihukum.

“Yang mengaku itu mesti dihukum sebab dia memang dah confirm (sahih)," katanya.

Terdahulu, Mohamed Hanipa meluangkan masa hampir sejam untuk beramah mesra dengan warga Sederap, ibu bapa dan murid-murid yang hadir pada majlis sambutan Hari Raya berkenaan.

Majlis sambutan itu dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk guru, murid dan ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 4:43 PM