KERETA dipandu wanita dipercayai kurang siuman yang rosak selepas cuba merempuh anggota polis di Taman Impian, Bukit Mertajam. FOTO IHSAN POLIS
Shamsul Munir Safini


WANITA berusia 51 tahun diberkas selepas membaling pisau dan menyimbah asid ke arah anggota polis di hadapan rumahnya di Taman Impian, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, pihaknya menerima laporan daripada anak saudara suspek mendakwa wanita dipercayai mengalami masalah mental mengamuk dan cuba menyimbah asid ke arahnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, susulan itu pihaknya menghantar anggota untuk melakukan siasatan.

“Anak suspek meminta bantuan polis menghantar wanita berusia 51 tahun itu ke hospital sakit jiwa berikutan pernah dirawat kerana penyakitnya itu sejak setahun lalu.

“Namun usaha memujuk suspek untuk keluar dari rumah gagal apabila wanita berkenaan bertindak membaling pisau ke arah anggota polis,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek yang juga seorang janda anak satu kemudian bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Saga dan melanggar motosikal anggota polis dan pagar rumah jiran.

“Suspek cuba melanggar anggota polis yang berada di hadapan rumah sebelum satu das tembakan dilepaskan anggota dan terkena tayar belakang kereta.

“Suspek turut merempuh pikap jenis Ford Ranger dan tersangkut. Tidak cukup dengan itu, dia juga menyimbah asid ke arah polis ketika cuba melarikan diri namun berjaya dicekup,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, anggota polis terselamat apabila berjaya mengelak serangan aisd wanita itu.

“Suspek kemudian dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 3:51 PM