TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin (enam dari kiri) melancarkan tiga agen kawalan biologi di MARDI Cameron Highlands, semalam. FOTO Ihsan MARDI
Mohamad Hussin


INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Jabatan Pertanian (DOA) berjaya menghasilkan pakej agen kawalan biologi yang berkesan mengawal serangan serangga perosak terutama sayuran tanah tinggi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, kaedah itu salah satu strategi MARDI dan DOA dalam menjamin kualiti serta keselamatan makanan negara selain dapat mengurangkan kos pengeluaran dan pencemaran alam sekitar.

Beliau berkata, rama-rama intan (Plutella xylostellaatau) lebih dikenali sebagai ‘Diamondback moth’ (DBM) adalah serangga perosak utama tanaman kubis.

“DBM adalah salah satu serangga perosak paling banyak dikaji di dunia disebabkan kesukaran mengawalnya. Selain itu, pelombong daun (Liriomyza spp) juga antara perosak yang serius terhadap sayuran berdaun seperti sawi, salad, daun sup, tomato dan timun.

“Peringkat larva perosak adalah paling serius memberi kerosakan kepada daun sehingga boleh mencapai 100 peratus kerosakan. Larva mengorek dan melombong daun sehingga menghasilkan terowong pada permukaan daun.

“Teknologi berkonsepkan ekologi yang dibangunkan ini adalah asas pengurusan perosak bersepadu (PPB). Ia bukan saja selamat kepada pengguna, tetapi juga sangat bermanfaat untuk memulihara kestabilan ekosistem di Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tiga Agen Kawalan Biologi di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands, Pahang, semalam.

Tze Tzin berkata, dua parasitoid sebagai agen kawalan biologi iaitu ‘Diadegma semiclausum’ dan ‘Cotesia vestalis’ telah terbukti berkesan mengawal serangan perosak utama tanaman ‘krusifer’ terutama sayuran kubis.

“Penggunaan agen ini berupaya mengurangkan lebih 50 peratus aktiviti penyemburan racun. Pada tahun 2010, satu lagi parasitoid agen kawalan biologi iaitu Coenosia exigua (Tiger Fly) diperkenalkan khusus untuk kawalan perosak sayuran organik (pelombong daun) dan dilihat berupaya mengurangkan peratusan serangan.

“Secara keseluruhannya, Pahang adalah negeri terbesar pengeluaran sayur-sayuran terutama sayuran kubis bulat yang ditanam di kawasan seluas 2,770 hektar dengan pengeluaran hampir 68,500 metrik tan (mt) diikuti negeri Sabah.

“Sumbangan terbesar hasil tanaman kubis bulat di Pahang datang dari Cameron Highlands iaitu sebanyak 68,400 mt.

Menurutnya, kadar sara diri sayuran bagi rakyat Malaysia meningkat setiap tahun bermula dari 52 peratus pada 2015 hingga ke 54 peratus pada tahun lalu.

“Cameron Highlands tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabaran yang boleh mengganggu gugat keselamatan makanan.

“Aktiviti pertanian yang dijalankan secara intensif di tanah tinggi dengan keluasan kawasan bertanam yang terhad akan mudah terdedah kepada masalah hakisan tanah serta penggunaan racun perosak yang meluas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:19 PM