MUHAMAD Faiz (kiri) bersama Jamaludin (kanan) hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri. FOTO Supian Ahmad.
Oleh Mohamad Hussin


LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menafikan dakwaan bekalan ikan di seluruh negara tidak mencukupi sepanjang musim perayaan lalu.

Pengerusi LKIM, Muhamad Faiz Fadzil berkata, lambakan ikan di pasaran menyebabkan harganya menjadi lebih murah,

Katanya, jumlah tangkapan yang tinggi menyebabkan bekalan ikan sepanjang musim perayaan lalu tidak terjejas.

“Harga ikan rendah berbanding dengan musim tertentu. Ia bergantung kepada faktor permintaan dan tawaran serta jumlah ikan yang didaratkan.

“Sekarang ini, sumber bekalan banyak dan tiada masalah bekalan di seluruh negara. Dulu harga ikan kembung boleh mencecah sehingga RM20 satu kilogram (kg) tetapi kini saya difahamkan cuma RM15 satu kg,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri LKIM 2019 di Wisma LKIM, Puchong, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah LKIM, Jamaludin Othman.

“Langkah kerajaan mengawal harga dan eksport ikan tertentu sehingga 30 Jun ini menyebabkan harga ikan di pasaran lebih murah.

“Malah, LKIM turut mempromosikan ikan sejuk beku dikenali sebagai Qfish dengan harga RM10 sebungkus bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

“Jadi tidak timbul isu tiada bekalan ikan kerana kita melakukan persediaan awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:21 PM
Skip this ad x