PASUKAN penyelamat menemui mayat seorang daripada empat mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Tanjung Bungah, Georgetown, malam tadi. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Hadzlihady Hassan


EMPAT pekerja lelaki warga Myanmar yang maut tertimbus akibat runtuhan tebing diupah pemilik Lost Paradise Resort di Tanjung Bungah, Georgetown sejak seminggu lalu untuk membina tembok penahan tanah.

Ketua Polis Daerah Timut Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pemilik resort terbabit mengupah mereka kerana menyedari ada pergerakan tanah di kawasan terbabit.

Beliau berkata, tukang kebun resort itu menyedari ada runtuhan tanah sebelum dia memaklumkan kepada pemilik resort.

“Tukang kebun itu ada berhampiran lokasi dan sedang menyiram pokok bunga sebelum mendengar runtuhan terbabit.

“Dia (tukang kebun) memang setiap hari bekerja bersama semua mereka dan melalui keterangannya memang hanya ada empat mangsa tertimbus,” katanya.

Che Zaimani berkata, kawasan terbabit memang agak curam dan pembinaan tembok itu tidak perlu mendapatkan kelulusan mana-mana pihak kerana ia tanah milik persendirian.

Setakat ini, tiga mayat sudah ditemui dengan kedudukan mereka berhampiran dan usaha mengesan satu lagi mayat masih diteruskan.

Berita berkaitan

'Empat pekerja dikhuatiri tertimbus'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 12:41 AM