Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


JURUTERA kerugian RM350,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam di bank di Bandar Baru Nilai dan Tabung Haji, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, kejadian bermula pada 14 Jun lalu sebaik lelaki berusia 41 tahun itu dihubungi wanita yang mendakwa bekerja di Ibu Pejabat Pos Kuala Lumpur jam 10.30 pagi.

Mangsa yang menetap di Bandar Seri Putra, Selangor diberitahu memiliki bungkusan yang mengandungi kad pengenalan dan jaket hitam.

“Mangsa menafikannya, namun taliannya disambung pula kepada lelaki yang mendakwa berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Anggota itu memberitahu mangsa terbabit aktiviti pengubahan wang haram dan dadah. Anggota itu kemudian mengirimkan waran tangkap melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aibee, talian disambung pula kepada lelaki lain yang mendakwa pegawai polis daripada IPK sama dan mengesahkan kes berkenaan.

“Mangsa diminta membuka akaun bank jika mahu kes diselesaikan. Mangsa membuka akaun bank di Bandar Baru Nilai dan memasukkan RM70,000 wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya pada jam 9.30 pagi, 18 Jun lalu.

“Mangsa sekali lagi memasukkan RM280,000 wang simpanan Tabung Haji ke dalam akaun berkenaan di Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi, 20 Jun. Mangsa diminta menunggu siasatan dan merahsiakannya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kelmarin mangsa menghubungi IPK Sabah dan terkejut apabila polis menafikan kes itu.

Berikutan itu, beliau berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 12:17 PM